Kejatuhan kuasa dinasti Tiga Kerajaan

Tiga Kerajaan pada tahun 262 sebelum penaklukan Shu.

Apa yang dianggap secara tradisi sebagai permulaan Zaman Tiga Kerajaan yang "tidak rasmi" ialah Pemberontakan Serban Kuning yang diketuai oleh Zhang Jiao pada tahun 184. Pemberontakan selama setahun itu memusnahkan China Utara, apabila Jalan Keamanan, mazhab agama Zhang, bertempur dengan angkatan tentera Empayar Han yang lemah di bawah He Jin. Jalan Keamanan  terdiri terutamanya daripada petani-petani yang amat terjejas di bawah sistem pemerintahan yang korup dan oleh itu, mudah dipengaruhi oleh gagasan Zhang Jiao tentang sebuah "dunia yang baru dan aman". Pemberontakan itu tamat dengan kematian Zhang Jiao, akibat penyakit, tetapi huru-hara yang ditimbulkan oleh pemberontakan, bersama dengan bencana alam yang melanda China pada tempoh yang sama, menyahstabilkan Dinasti Han dan mentakdirkan kejatuhannya. Pemberontakan itu juga menyebabkan kerajaan pusat memberikan lebih banyak kuasa ketenteraan kepada kerajaan-kerajaan tempatan yang kemudian menjadi salah satu punca zaman peperangan yang menyusul.

Rentetan peristiwa yang mengakibatkan kejatuhan kuasa dinasti dan kebangkitan Cao Cao adalah amat rumit. Kemangkatan Maharaja Ling pada Mei 189 mengakibatkan sebuah keregenan yang tidak stabil di bawah Jeneral Agung He Jin serta pembaharuan persaingan antara puak-puak sida-sida dengan birokrasi awam. Selepas pembunuhan He Jin, Kolonel-Leftenan Retainer Yuan Shao, sekutu utamanya, mengetuai sebuah pembunuhan beramai-ramai sida-sida di dalam istana-istana empayar yang terletak di Luoyang, dan menyebabkan Dong Zhuo, jeneral sempadan, masuk ke kota itu dari sempadan barat laut China. Ketika itu, China sedang menghadapi puak Qiang, orang gasar yang kuat di bahagian timur laut dan oleh itu, angkatan tentera Dong Zhuo merupakan sebuah angkatan tentera elit yang terlatih. Ketika tiba di Luoyang, angkatan tenteranya menewaskan kedua-dua angkatan tentera di sana dengan mudah dan Dong Zhuo menguasai istana empayar. Peristiwa ini memulakan zaman perang saudara di seluruh China.

Dong Zhuo kemudian memanipulasikan pewarisan takhta supaya bakal Maharaja Xian boleh naik takhta sebagai ganti kepada abang tirinya. Sedangkan Dong Zhuo bercita-cita tinggi, beliau benar-benar menginginkan seorang maharaja yang lebih berupaya. Dalam suatu kejadian di Luoyang ketika beliau berhadapan dengan dua orang putera Maharaja Ling yang dilindungi oleh sepasukan askar yang kecil dan yang sedang melarikan diri dari kawasan perang, keangkuhan dan sikap mengancam Dong Zhuo mengakibatkan pewaris takhta yang sah menjadi kaku kerana ketakutan. Adik tirinya itu, bakal Maharaja Xian, kemudian membalas dengan tenang dan berkuasa, dan memerintah Dong Zhuo supaya melindingi keluarga diraja itu bersama pasukan askar mereka balik ke Istana Empayar.

Sedangkan Dong Zhuo pada asalnya hendak mengasaskan semula kuasa Empayar Han dan mengatasi semua pertikaian politik dengan wajar, keupayaan politiknya terbukti lagi teruk berbanding dengan kepimpinan ketenteraannya. Tingkah lakunya semakin ganas dan autoritarian, dan beliau menghukum mati atau membuang semua penentangnya, selain daripada menunjukkan kehormatan yang semakin kurang terhadap Maharaja. Beliau tidak mengendahkan semua etiket diraja dan kerap kali membawa senjata masuk ke istana empayar secara terbuka. Pada tahu 190, seangkatan tentera campuran yang diketuai oleh Yuan Shao dibentuk antara hampir semua pihak berkuasa di provinsi-provinsi timur untuk menentang Dong Zhuo. Tekanan yang semakin meningkat daripada kekalahan berulang kali di barisan hadapan selatan terhadap angkatan tentera Sun Jian memaksa Maharaja Han dan kemudiannya Don Zhou sendiri berundur ke Chang'an di barat pada Mei 191.

Dong Zhuo sekali lagi menunjukkan kelemahanan keupayaan politiknya dengan memaksa berjuta-juta penduduk Luoyang supaya berhijrah ke Chang'an. Beliau kemudian membakar Luoyang untuk mengelakkan pendudukan kota itu oleh musuh-musuhnya dan dengan itu, memusnahkan kota terbesar China pada masa itu. Selain itu, beliau juga memerintah askar-askarnya supaya membunuh dan memancung kepala semua penduduk di sebuah desa supaya dapat menayangnya di Chang'an sebagai hiasan kenang-kenangan perang, dan berpura-pura mencapai kemenangan perang yang cemerlang terhadap musuh-musuhnya. Setahun kemudian, Dong Zhuo dibunuh dalam sebuah rampasan kuasa oleh Wang Yun dan Lü Bu (anak angkat Dong Zhuo).